Kisah Sebenar Melayu

MELAYU SEPERTI YANG DIISYTIHARKAN OLEH SYEIKH ABDULLAH AL-QUMAIRI

Syeikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Ja’far Qumairy (atau Syeikh Abdullah Al-Qumairy atau Syekh Abdullah Al-Yamani) berasal dari Syahir, Yaman. Beliau merupakan seorang ahlul-bait Rasulullah SAW selain murid kanan kepada Sultanul Awliya’ Sayyidi Syeikh Maulana Maududin Ariffin Qutb Rabbani Muhyiddin Abdul Qadir al-Jailani Qadasallah Sirruh.

Pada suatu hari, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menerima arahan dari Syeikh Abdul Qadir al-Jailani untuk berangkat ke Negeri Kalaha (Kedah) dalam di Nusantara bersama-sama 11 orang rakan-rakannya .

Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menggunakan jalan karamah di mana beliau berjalan sekelip mata (lipat bumi) dari Baghdad ke Kalaha dengan izin Allah SWT . Syeikh Abdullah tiba di Negeri Kalaha pada tahun 531 Hijrah (1136 Masehi) dan telah mengadap Maharaja Durbar II Raja Phra Ong Mahawangsa, Raja Kalaha yang ke-9 di Istana Bukit Meriam. Ketika itu istana sedang mengadakan satu majlis keramaian yang mempamerkan pertunjukan seni mempertahankan diri yang berpaksikan pemujaan dewata, sihir, istidraj dan lain-lain.

Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan rakan-rakannya telah mempamerkan satu kehebatan seni mempertahankan diri (silat) sehingga semua hulubalang-hulubalang Raja Phra Ong terpaksa mengaku kalah dan akur dengan kehebatan Syeikh Abdullah.

Baginda amat kagum dengan kehebatan yang ditonjolkan oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan rakan-rakannya serta ingin mengetahui secara lanjut mengenai rahsia kekuatan ini. Setelah mendengar penerangan Syeikh Abdullah, akhirnya baginda sangat terpegun dan terus memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah 3X (ada versi yang menyatakan 9X) di tangan Syeikh Abdullah Al-Qumairy diikuti semua para pembesar dan pegawai-pegawai istana.
Syeikh Abdullah Al-Qumairy juga telah memasyhurkan gelaran dan nama baru kepada Raja Phra Ong Mahawangsa iaitu Sultan Muzaffar Shah 1. Tidak lama kemudian seluruh rakyat Kedah juga telah memeluk agama Islam. Pengislaman secara massal ini berlaku
dalam tempoh yang begitu cepat dengan berkat usaha yang jujur dan ikhlas seorang Waliyullah iaitu Syeikh Abdullah Al-Qumairy.
Rakyat Kedah juga terdiri daripada kelompok yang berasal daripada Arab, Iran, India, Parsi, China dan sebagainya yang mana mereka kebanyakannya telah lama memeluk Islam di negara asal masing-masing. Mereka juga terkenal dengan kemahiran berdagang. Golongan ini juga telah memutuskan untuk terus tinggal bersama-sama umat Islam di Kedah dan menjadi satu warga atau bangsa yang baru di negeri Islam di bawah bimbingan Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan payung pemerintahan Sultan Muzaffar Syah 1

Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menamakan gagasan bangsa yang baru sebagai AL-MALA-U bersempena satu kalimah Arab yang bermaksud ‘(berkembang-biak) memenuhi ruang’ kerana cepatnya berkembang pengaruh agama Islam di Kalaha. Lama-kelamaan, pengaruh dialek dan sebutan berbilang bangsa ini telah menerbitkan perkataan “MELAYU” seperti yang dikenali hari ini.
Syeikh Abdullah Al-Qumairy juga telah meletakkan nama 'bangsa yang baru' ini sebagai ‘Al-Mala-u' bersempena Firman Allah SWT yang mafhumnya:
“ Tiadalah bagiku sebarang pengetahuan tentang penduduk alam yang tinggi (Al-Mala-ul'A'la) semasa mereka bersoal jawab.” (as-Saad: 69)

Dalam hal yang berkaitan Nabi SAW bersabda:
“ Telah menceritakan kepada kami Abdurrazaq yang berkata telah menceritakan kepada kami Ma’mar dari Ayub dari Abi Qilabah dari Ibnu Abbas bahwa Nabi SAW bersabda “RabbKu Azza wa Jalla datang kepadaku malam tadi dalam sebaik-baik bentuk” –Aku mengira maksudnya adalah dalam tidur- Lalu Dia berfirman “Wahai Muhammad, apakah kamu tahu mengenai apa Al Mala’ul A’la yang menjadi perbalahan? Baginda bersabda “tidak”. Nabi SAW bersabda “Lalu Dia meletakkan tangan-Nya di antara dua bahuku hingga aku dapati dinginnya antara dua dadaku. Atau Baginda bersabda “antara tenggorokanku”. Maka tahulah aku apa yang ada di langit dan di bumi. Kemudian Dia berfirman “Wahai Muhammad, apakah kamu tahu mengenai apa Al Mala’ul A’la (yang menjadi punca) pertengkaran?”.
Baginda bersabda ‘Aku berkata “ya , mereka bertengkar mengenai Al Kafarat dan Ad Darajat?”. Apa itu Al Kafarat dan Ad Darajat?. Diam di masjid, berjalan kaki untuk berjema’ah, menyempurnakan wudhu dalam suasana/keadaan tidak menyenangkan, barangsiapa melakukan hal itu maka ia hidup dengan baik dan mati dengan baik. Dia bersih dari dosa seperti baru dilahirkan Ibunya. Dan katakanlah wahai Muhammad bila kamu selesai solat “Ya Allah sesungguhnya aku memohon KepadaMu kebaikan-kebaikan, meninggalkan hal yang mungkar dan cinta kepada orang-orang miskin. Dan bila Engkau menginginkan fitnah bagi para hambamu maka cabutlah nyawaku kepadaMu dengan tanpa fitnah”. Dan Ad Darajah adalah dengan memberikan makanan, menyebarkan salam dan solat malam saat manusia tidur”.
[HR Ahmad dalam Musnad Ahmad 1/368 no 3484 dan Sunan Tirmidzi 5/366 no 3233]

'Al-Mala-u' juga disebut di banyak tempat dalam Al-Qur'anul Karim dan juga Hadis. Mengikut Kamus Bahasa Arab- Al-Mala-u bererti :
i. Budi pekerti yang tinggi (husnulkhuluqa (akhlak yang mulia) yakni makna kepada agama sebagaimana sabdaan Rasulullah SAW)
ii. Pemimpin
iii. Cahaya (Iman dan Taat) yang memenuhi ruang dan masa
Gelaran ini diberikan bagi mengesahkan bahawa warga ini adalah:

AHLI JAWI MELAYU ASAL BANGSA PEGANG TEGUH AGAMA ISLAM

i. Ahli (warga yang menerima Talkin kalimah Taqwa dan Tarbiah)
ii. Jawi (penulisan bangsa Arab asal iaitu Jawi Qadim (Asia Barat) – manakala Bangsa Melayu asal pula menggunakan Jawi Jadid (Asia Tenggara) yang menambahkan titik pada beberapa huruf)
iii. Melayu (yang berkembang-biak memenuhi ruang)
iv. Asal (yang asli menerima Islam dari Rasulullah SAW)
v. Bangsa (rasmi) kebangsaan (Warga Angin bawah ayu Merdeka)
vi. Pegang Teguh Agama Islam – berpaut kukuh kepada agama Samawi.

Kemudian Sultan Muzaffar 1 memperkenalkan kepada mata dunia bahawa ISLAM ITU MELAYU dan MELAYU ITU ISLAM.

Ada pendapat yang menyatakan bahawa perkataan "Melayu" itu adalah perkataan "Sanskrit" dan "bangsa atau keturunan Melayu" itu adalah dari India, China, Kemboja dsb. Dari segi keturunan pertalian darah dan sejarah asal-usul, kenyataan ini mungkin ada kebenarannya tetapi penamaan bangsa "Melayu" pada SEBELUM zaman Phra Ong Mahawanser telah dinafikan oleh ulama-ulama Nusantara serta menegaskan bahawa "Al-Mala-u" itu adalah dari kalam Lughatul Qur'an dan digunakan hanya semasa pemasyhuran nama bangsa yang baru di Nusantara setelah Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam dan ditukar gelaran kepada Sultan Muzaffar 1.

Maka negeri yang bernama Kalaha juga telah ditukar oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairy kepada nama Kedah Darul Aman iaitu sebuah negeri yang aman dan merdeka dari segala bentuk kesyirikan, kekufuran dan keengkaran. Penamaan ini juga bersempena “Baldatun Thayyibah Wa Rabbun Ghafur” yang dipetik dari Firman Allah SWT yang bermaksud “Negeri yang baik (indah lagi makmur) dan Tuhan Maha Pengampun” (ke atas taubat hambaNya). (Saba:15)
Sultan Muzaffar Syah 1 sangat mengasihi Syeikh Abdullah Al-Qumairy sehingga baginda telah melantik Syeikh Abdullah Al-Qumairy sebagai Guru dan Penasihat agama peribadi baginda, kaum kerabat diraja dan juga seluruh Istana. Sultan Muzaffar Syah 1 juga telah mengangkat Syeikh Abdullah Al-Qumairy sebagai ayahanda angkat baginda.

Syeikh Abdullah Al-Qumairy juga telah menyarankan agar candi di puncak Gunung Jerai dimusnahkan dan diganti dengan sebuah menara untuk dijadikan tempat azan bagi menyeru umat Islam Kedah untuk bersolat. Sultan Muzaffar Syah 1 telah menitahkan agar permintaan Syeikh Abdullah Al-Qumairy dilaksanakan.

Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah jatuh gering dan ditakdirkan wafat beberapa hari selepas itu. Sebelum kewafatannya, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan di kawasan lapang berdekatan dengan binaan menara berkenaan. Kawasan itu dikenali kini sebagai Padang Tok Syeikh (mengambil sempena nama Syeikh Abdullah Al-Qumairy)

Guru Syeikh Abdullah iaitu Sayyidi Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (wafat pada 561 Hijrah/1166 Masehi) pernah tiba beberapa kali di Gunung Jerai untuk
menziarahi maqam muridnya, Syeikh Abdullah Al-Qumairy serta pernah bersolat di kawasan tanah lapang berkenaan di samping melantik Sultan Muzaffar Shah 1 sebagai pengganti kepada Syeikh Abdullah Al-Qumairy.

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani juga telah mengesahkan pemakaian gelaran 'Sultan' ke atas Sultan Muzaffar Shah 1 yang membawa maksud 'Amirul Mukminin' (Pemimpin Orang-Orang Beriman) dan gelaran 'Shah' yang mirip maksudnya dengan 'Sayyid' - manusia terpilih yang diyakini pembela agama yang mempunyai akhlak yang tinggi .

Sumber:
Kisah ini diambil oleh Syeikh Mahmud Nasri Othmani daripada Ulama terkenal Kelantan Tuan Guru Waliyulllah Maulana Syeikh Yusof Kenali (Tok Kenali) yang diterima dari gurunya, ulama Nusantara tersohor iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Mustaffa Al-Fathani sebagaimana isi kandungan beberapa buah kitab seperti Hadiqatul Al-Azhar yang menceritakan kembali kisah sebenar Melayu

Wallahua'lam...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PANGLIMA HITAM